Tendang anggota URB, tukang masak didenda RM2,500

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Jawi, pada Jumaat.
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Jawi, pada Jumaat.
A
A
A

JAWI - Seorang tukang masak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah menendang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang menjalankan tugas di Jalan Besar Valdor, di sini pada Selasa lalu.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhamad Idris Md Eusoff, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan anggota URB daripada menjalankan kewajipannya di Jalan Besar Valdor dalam daerah Seberang Perai Selatan, jam 12.25 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dua anggota URB sedang melakukan rondaan di Sungai Bakap meminta tertuduh memberhentikan motosikal yang ditungganginya untuk diperiksa.

Bagaimanapun, tertuduh cuba melarikan diri selain menghimpit serta menendang motosikal anggota berkenaan menyebabkan masing-masing mereka terjatuh.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam, M. Catherine Joysce dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan lelaki itu menyesal dengan perbuatannya serta menanggung keluarga termasuk dua adik yang masih bersekolah.

Sementara itu, di mahkamah sama, lelaki bujang itu mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki heroin 1.4 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 20 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!