Pasangan suami isteri mengaku bersalah miliki air ketum

Mohd Nasir dan Norhafizah mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama memiliki air ketum pada 6 Januari lalu.
Mohd Nasir dan Norhafizah mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama memiliki air ketum pada 6 Januari lalu.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang penghantar makanan dan barang menghadapi dua pertuduhan termasuk pertuduhan bersama isterinya di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki air ketum.

Tertuduh, Mohd Nasir Othman, 47, didakwa memiliki 18 liter air ketum di hadapan sebuah rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 9 pagi, 6 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mohd Nasir yang tidak diwakili peguam mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Ahzal kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadapnya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama isterinya, Norhafizah Mohd Zamberi, 36, dituduh memiliki 259.5 liter air ketum di rumah, hari dan waktu yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

Mohd Nasir dan Norhafizah mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Jin Hong menawarkan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Dalam rayuan mereka, Mohd Nasir memohon agar dikenakan jaminan minimum berikutan perlu menanggung enam anak yang masih bersekolah.

"Saya mohon jaminan yang rendah kerana hanya saya yang menanggung keluarga, sementara isteri tidak bekerja," katanya.

Selain itu, Norhafizah berkata, anak bongsunya yang merupakan kanak-kanak autisme sedang menerima rawatan di hospital.

"Saya mohon jaminan yang rendah kerana ingin menjaga anak bongsu yang sakit di hospital," katanya.

Ahzal kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 12 Mac untuk laporan kimia dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!