Guan Eng gesa JPA perjelas isu pegangan saham Azam Baki

Guan Eng (kiri) dan Azam Baki.
Guan Eng (kiri) dan Azam Baki.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menjelaskan secara rasmi dan terbuka berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, penjelasan tersebut adalah demi kepentingan awam.

Menurutnya, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 melarang penjawat awam daripada membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000 pada nilai semasa.

“Sekiranya Azam tidak melanggar peraturan perkhidmatan awam ini, maka beliau berhak menggunakan hak peribadinya untuk mendapatkan pembelaan undang-undang.

“Bagaimanapun, sekiranya beliau telah melanggar pekeliling tersebut, maka kerajaan mesti menjelaskan apakah tindakan tatatertib yang telah diambil dan sama ada satu siasatan khas perlu dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, perkara itu juga bagi menentukan sama ada kedudukan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM masih boleh dipertahankan.

Guan Eng berpandangan, prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan mesti dipelihara, lebih-lebih lagi bagi seorang pegawai yang menerajui jawatan begitu kritikal dan penting seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Menurutnya, Azam turut dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap laporan media yang mempersoalkan pembelian dan pemilikan saham yang didakwa bernilai lebih RM100,000, dengan menyifatkannya sebagai berniat jahat, mengelirukan serta bersifat fitnah.

“Ini adalah hak undang-undang Azam Baki untuk mengambil tindakan peribadi berhubung transaksi saham beliau tahun lalu, yang mana beliau memiliki 17.7 juta saham (1.7 peratus) dalam Velocity Capital Partner Berhad,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan diminta menjelaskan secara terbuka dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
  • Penjelasan tersebut dianggap penting demi kepentingan awam
  • Pegawai awam dilarang membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000
  • Sekiranya Azam Baki melanggar pekeliling, kerajaan perlu jelaskan tindakan tatatertib yang diambil
  • Azam Baki dilaporkan memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!