Larangan media sosial bawah 16 tahun berisiko dorong remaja ke ruang lebih bahaya

KUALA LUMPUR - Wawasanex menggesa kerajaan menilai semula cadangan mengehadkan akses media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun, sambil memberi amaran bahawa larangan menyeluruh berpotensi mendorong remaja ke ruang dalam talian yang lebih berisiko dan sukar dipantau.
Badan pemikir dasar awam itu berkata, pengalaman antarabangsa termasuk pelaksanaan dasar seumpamanya di Australia menunjukkan wujud cabaran penguatkuasaan yang ketara serta kesan sampingan yang boleh dijangka.
Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata, usaha melindungi kanak-kanak dalam talian merupakan matlamat dasar yang sah, namun pendekatan berbentuk larangan sepenuhnya mungkin tidak menangani punca sebenar masalah.
“Jika remaja disekat daripada platform arus perdana, mereka tidak akan meninggalkan internet. Sebaliknya, mereka akan beralih ke ruang lain yang lebih sukar dipantau oleh ibu bapa, sekolah dan pengawal selia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, risiko seperti gangguan seksual, gangguan dalam talian dan buli siber sememangnya wujud dan perlu ditangani secara serius.
Namun, katanya, pendekatan menyeluruh yang menutup akses sepenuhnya disifatkan sebagai terlalu umum dan berisiko menghasilkan kesan yang tidak diingini.
“Remaja tetap akan mencari cara untuk berhubung dan bersosial. Bezanya, mereka mungkin beralih ke sudut internet yang kurang kelihatan dan kurang dikawal. Ini boleh menjadikan keadaan lebih berbahaya, bukan lebih selamat,” katanya.
Adli menegaskan bahawa dasar awam perlu berasaskan realiti tingkah laku, bukan andaian semata-mata.
“Golongan muda lazimnya menyesuaikan diri lebih pantas daripada pengawal selia. Pendekatan yang lebih berkesan ialah mengurangkan kemudaratan di platform yang mereka gunakan sekarang, bukannya mengandaikan tingkah laku itu boleh dihapuskan sepenuhnya melalui sekatan,” ujarnya.
Beliau turut membandingkan isu itu dengan pendekatan dasar bandar terhadap aktiviti papan selaju.
Menurutnya, larangan dan pemasangan halangan fizikal di ruang awam tidak menghapuskan aktiviti tersebut, sebaliknya hanya memindahkannya ke lokasi lain yang lebih sukar dipantau dan berpotensi meningkatkan ketegangan dengan pihak berkuasa.
“Pengalaman menunjukkan pendekatan yang lebih berkesan ialah menyediakan reka bentuk ruang yang lebih selamat, peraturan yang jelas dan penglibatan komuniti. Prinsip sama boleh diterapkan dalam dasar keselamatan dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu, Wawasanex mencadangkan pendekatan yang memberi tumpuan kepada reka bentuk dan akauntabiliti platform, termasuk mewajibkan tetapan privasi tinggi secara lalai bagi pengguna bawah umur, mengehadkan pengumpulan data, mematikan fungsi geolokasi secara automatik serta mengetatkan larangan terhadap pengiklanan berasaskan pemprofilan kepada kanak-kanak.
Menurut badan itu, langkah berasaskan reka bentuk sedemikian berupaya mengurangkan pendedahan kepada risiko tanpa menolak golongan muda ke ruang digital yang kurang kelihatan.
Wawasanex turut menggesa agar proses libat urus menyeluruh dilaksanakan sebelum sebarang undang-undang bersifat sekatan diperkenalkan.
Ini termasuk mendapatkan pandangan pendidik, ibu bapa, pakar psikologi kanak-kanak, pentadbir sekolah, pakar teknologi, kumpulan masyarakat sivil, agensi penguat kuasa, pengawal selia, platform serta pengendali gedung aplikasi.
“Malaysia mempunyai peluang untuk merangka peraturan yang lebih bijak dan betul – melindungi kanak-kanak tanpa memutuskan mereka daripada dunia digital.
"Tanggungjawab perlu diletakkan pada reka bentuk dan penguatkuasaan platform, di samping memperkukuh peranan keluarga, sekolah dan komuniti,” kata Adli.
Ringkasan AI
- Wawasanex menggesa kerajaan menilai semula cadangan mengehadkan akses media sosial untuk bawah 16 tahun kerana ia boleh mendorong remaja ke ruang dalam talian yang lebih berisiko
- Pengalaman antarabangsa menunjukkan cabaran dalam penguatkuasaan dasar seumpama ini serta kesan sampingan yang tidak diingini
- Menyekat akses sepenuhnya kepada platform arus perdana boleh mendorong remaja mencari alternatif yang sukar dipantau
- Pendekatan yang disarankan termasuk reka bentuk platform yang lebih selamat, mengutamakan privasi dan ketat dalam pengiklanan terhadap kanak-kanak
- Wawasanex mencadangkan penyertaan pelbagai pihak dalam proses pengambilan keputusan sebelum memperkenalkan undang-undang bersifat sekatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
