NAFAS rekod keuntungan tertinggi, laksana pelan reformasi 2026–2030 perkukuh integriti

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melakar sejarah apabila mencatatkan keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya pada 1972, berjumlah RM227 juta bagi 2024 dan RM201 juta bagi 2025.
NAFAS dalam satu kenyataan berkata, angka itu dicapai selepas merekodkan kerugian besar masing-masing berjumlah RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023.
Menurutnya, langkah pemulihan tersebut digerakkan melalui pengukuhan aliran pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan yang mengalami kerugian serta pemantapan kawalan dalaman NAFAS.
Seiring dengan itu, katanya, NAFAS memulakan langkah proaktif melalui Pelan Reformasi NAFAS 2026–2030 (NAFAS 2.0) yang bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing sebagai kerangka transformasi struktur tatakelola dan perniagaan bagi memperkukuh integriti serta kelestarian institusi demi kepentingan seluruh warga peladang.
“Melalui inisiatif penambahbaikan ini, NAFAS telah memfokuskan kepada lima teras strategik iaitu Tadbir Urus dan Kepimpinan Organisasi; Perundangan dan Pematuhan; Pengurusan Perolehan; Model Perniagaan dan Kelestarian Kewangan serta Strategi Komunikasi dan Pemulihan Kepercayaan Awam.
“Sebagai bukti komitmen terhadap agenda reformasi, NAFAS telah menyerahkan dokumen rujukan strategik Pelan Reformasi NAFAS 2.0 kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Mat Amin serta Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin membentangkan kemajuan reformasi yang merangkumi penambahbaikan pengurusan kewangan, proses perolehan dan tadbir urus.
Sesi taklimat itu menegaskan komitmen bersama NAFAS dan LPP untuk meletakkan NAFAS sebagai institusi milik peladang yang diurus secara profesional, telus dan berakauntabiliti.
Mengulas lanjut, NAFAS memaklumkan penyerahan itu juga menandakan kesinambungan usaha penstrukturan semula yang dimulakan sejak 2023, sekali gus menyelaraskan hala tuju NAFAS dengan dasar agromakanan negara.
Sebagai sebahagian daripada agenda reformasi, NAFAS menjelaskan pihaknya melaksanakan rasionalisasi pelaburan dengan menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta.
“Langkah itu menjana penjimatan tahunan kira-kira RM5 juta, membolehkan sumber difokuskan kepada entiti berdaya saing dalam bidang input pertanian, perkhidmatan agronomi dan teknologi pertanian.
“Tadbir urus korporat turut diperkukuh melalui pemisahan fungsi pembuat dasar dan pelaksana serta penambahbaikan proses perolehan berasaskan prinsip persaingan adil dan nilai terbaik,” ujarnya.
NAFAS menambah, pihaknya turut berjaya memperoleh kontrak input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025–2028, selain menyumbang hampir RM1.0 bilion kepada hasil kumpulan melalui tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan pasaran terbuka.
Katanya, langkah agresif turut diambil bagi mengutip tuntutan bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan.
“Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, NAFAS kini berada pada posisi terbaik untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah secara lebih efisien, selaras dengan kapasiti pengeluaran 360,000 metrik tan setahun,” tegasnya.
Sementara itu, Mohamad yang menerima dokumen rujukan berkenaan menegaskan reformasi itu bertujuan melindungi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang bagi memastikan aset organisasi diurus secara bertanggungjawab demi pulangan adil kepada akar umbi.
“Penyerahan pelan ini menandakan peralihan NAFAS daripada fasa pemulihan kepada pengukuhan dan pengembangan, selari dengan agenda Keterjaminan Makanan Negara dan kerangka Malaysia Madani,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak 1972, RM227 juta untuk 2024 dan RM201 juta untuk 2025
- Sebelum kejayaan ini, NAFAS mengalami kerugian besar, RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023
- Langkah pemulihan NAFAS melibatkan pengukuhan pendapatan teras, memperbaiki unit perniagaan rugi dan memperkukuh kawalan dalaman
- NAFAS melancarkan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 (2026-2030) untuk transformasi, pemerkasaan, dan meningkatkan daya saing
- Inisiatif reformasi termasuk penutupan subsidiari rugi, pemisahan fungsi pembuat dasar dan pelaksana, serta peningkatan proses perolehan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

