Pakej terlalu murah, tidak masuk akal antara taktik penipuan

SHAH ALAM - Kebanyakan kes penipuan melibatkan syarikat pengendali umrah berpunca daripada tawaran pakej harga yang terlalu murah dan tidak masuk akal.
Pengerusi Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, adalah mustahil untuk menawarkan harga pakej murah ketika berlaku peningkatan operasi di Arab Saudi.
“Contoh dengan pakej itu ada menjanjikan hotel dekat, tetapi realitinya perkara tersebut hanya ‘hiasan sahaja’.
“Tak mungkin dalam zaman mahal ini mereka boleh tawarkan harga murah. Kita faham jemaah kali pertama pergi, mereka tidak akan anggap syarikat tersebut menipu sebab ia ibadat, tetapi sebenarnya itulah yang sedang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Dalam pada itu, Md Daud berpendapat, syarikat pengendali umrah yang meragukan seringkali hanya ingin mengaut keuntungan dan tiada niat untuk membawa jemaah ke Tanah Suci.
“Mereka ini bukanlah bermotivasi nak bawa orang menunaikan umrah atas dasar iman dan takwa. Mereka betul-betul nak cari duit ketika mana orang sedang mencari peluang harga murah nak pergi sana.
“Harga sudah mahal dan tentulah syarikat besar dan berpengalaman mengenakan bayaran sewajarnya. Kemudian mereka (syarikat terlibat) ini pula mengambil ambil kesempatan tawarkan pakej harga murah untuk tarik pelanggan,” ujarnya.
Ditanya mengenai kes penipuan yang sering berlaku, beliau berharap tidak ada lagi pengusaha syarikat berhasrat untuk mengeksploitasi para jemaah mengerjakan umrah.
“Pergi nak beribadah untuk dapat rahmat tapi jemaah ditipu dan orang yang menipu pula dapat ‘nikmat’ dengan penipuan iaitu duit banyak.
“Satu sahaja pesanan saya, siapa menipu Nabi Muhammad SAW tak akan mengaku umat...siapa yang menipu ALLAH SWT tak mengaku hambaNya,” kata Md Daud.
Beliau turut berpesan kepada bakal jemaah haji dan umrah supaya lebih berhati-hati dalam memilih syarikat pengendali.
Ujarnya, faktor penting adalah dengan memilih syarikat berdaftar, membuat pengiklanan di surat khabar tempatan, jangan mudah terpengaruh dengan syarikat yang mempunyai model daripada selebriti atau pempengaruh dan jangan percaya kepada taktik pakej umrah perseorangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!