Status halal sandwic: MIICCI gesa Jakim gantung, batal sijil halal syarikat pembekal

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Jakim mengenai status halal sandwic yang dijual di UM. Gambar kecil: Muhamad Amin
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Jakim mengenai status halal sandwic yang dijual di UM. Gambar kecil: Muhamad Amin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mempergiatkan aktiviti pemantauan, penguatkuasaan dan mengenakan hukuman berat kepada syarikat yang berulang kali menimbulkan masalah berkaitan status halal sesuatu produk.

Pengerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI), Muhamad Amin Fahmi berkata, tindakan tersebut wajib dilaksanakan sebagai pengajaran supaya keadaan yang sama tidak berulang.

"Senarai hitam sahaja syarikat ini daripada menjadi pembekal produk kepada pengguna Islam. Jika syarikat ini ada sijil halal, gantung atau batalkan sahaja sijil halal daripada syarikat berkenaan.

"Tindakan keras itu perlu bagi menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menangani isu halal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Jakim mengesahkan 'sandwic ham & cheese' yang dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Jakim berkata, pihaknya selesai melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu dan semakan mendapati syarikat yang menghasilkan produk terbabit juga bukan pemegang sijil halal.

Mengulas lanjut, Muhamad Amin berkata, pihaknya menempelak tindakan biadap syarikat pembekal roti sandwic ke rangkaian KK Mart dengan menggunapakai logo halal palsu serta diragui status halal produk tersebut.

Ujarnya, syarikat pembekal tersebut seakan ingin meniup api kemarahan umat Islam dan pihak berkuasa serta langsung tidak sensitif terhadap hal keagamaan dan kepentingan isu halal.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, menerusi perkembangan semasa berkaitan isu berkenaan, ada kemungkinan makanan tersebut telah dibeli oleh orang yang beragama Islam.

"Sebagai syarikat yang berdaftar di Malaysia sewajarnya faham tentang agama, adat dan budaya bermasyarakat. Di manakah sifat kebertanggungjawaban sebagai rakyat Malaysia?

"Syarikat ini dilihat benar-benar melampaui batas. Sebagai sebuah dewan perdagangan yang memperjuangkan industri halal diperingkat tempatan dan global, MIICCI melihat perkara ini jika tidak dibendung, maka akan berulang berkali-kali.

"Alasan tidak tahu atau terlepas pandang sama sekali tidak boleh diterima. Apakah semudah dengan lafaz minta maaf sahaja insiden seperti ini tidak berulang?

"Bagaimana tatakelola atau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) syarikat sebelum menerima produk ini untuk diletak di kedai dan dijual kepada pembeli?," ujarnya.

Pada masa sama, Muhamad Amin turut mengajak semua umat Islam untuk bersatu dalam memartabatkan isu halal.

Tambah beliau, agama Islam mengajar umatnya untuk memilih produk halalan toyyiban kerana banyak kebaikan produk yang dibuat daripada sumber halal, manakala barang tidak halal lebih mengundang kemudaratan kepada masyarakat.

"MIICCI juga menyeru semua dewan perdagangan dan persatuan perniagaan yang memperjuangkan agenda halal bangkit untuk bersama MIICCI dengan memberi satu mesej jelas kepada pihak yang sengaja meniup api kemarahan umat Islam supaya tidak mengulangi tindakan terkutuk ini lagi.

"Apakah kita hanya akan berdiam diri tatkala isu sensitif yang melibatkan agama Islam ini diganggu gugat?," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!