[VIDEO] Isu status halal sandwic: Dr Akmal Gesa Pemuda UMNO, NGO lapor polis
JASIN - Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negara termasuk badan bukan kerajaan (NGO) digesa membuat laporan polis berhubung isu penjualan makanan produk 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, laporan polis itu dibuat sebagai satu bantahan terhadap kedai serbaneka itu yang dianggap tidak bertanggungjawab selain didakwa tidak mengambil iktibar isu yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, sekiranya benar syarikat ini didapati menjual barang makanan yang tidak mendapat pengiktirafan halal namun diletakkan logo halal ia boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap orang Islam.
Malah katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan laporan polis itu sebagai tambahan laporan yang sama dibuat pelajar universiti itu.

"Kalau tak ada logo halal, berniaga lah tak apa, tidak ada masalah berniaga lah seperti biasa.
"Tapi kalau tak ada, tapi letakkan logo halal seolah-olah nak mengelirukan orang Islam, jadi kita minta kerajaan untuk teliti perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin di Seri Mendapat di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kerajaan perlu melakukan penguatkuasaan serta memberikan hukuman berat kepada pengkhianat negara ini.
Pada Isnin, Jakim mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal.
Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama KPDN pada Jumaat lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!