Pengusaha makanan jangan tipu logo halal, elak kekeliruan pembeli

Laporan Sinar Harian mengenai Jakim yang mengesahkan 'sandwic ham & cheese' dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Laporan Sinar Harian mengenai Jakim yang mengesahkan 'sandwic ham & cheese' dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar makanan tidak sepatutnya menggunakan label logo halal yang tidak diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi produk yang boleh mengelirukan pengguna terutama mereka beragama Islam.

Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia, Muhammad Fairuz Azmi berkata, perkara tersebut perlu bagi mengelakkan pengguna tertipu dan mengambil makanan yang mengandungi kandungan tidak halal.

“Merujuk kepada isu tular berkaitan dengan sandwic 'ham & cheese', perkataan 'ham' sebenarnya turut digunakan di luar negara untuk merujuk kepada daging haiwan seperti ayam tetapi bagi isu tular ini ia telah mengelirukan dan tidak sepatutnya digunakan.

“Jika ia adalah daging ayam sebaiknya guna label ayam dan keju kerana 'ham' ini sangat sinonim dengan daging khinzir,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, polis telah menerima laporan berhubung penjualan makanan 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).

Kes telah dirujuk kepada Jakim serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan telah mengesahkan produk makanan itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pemeriksaan lanjut turut mendapati syarikat pengeluar makanan terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak Jakim dan logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic ialah logo halal diperakukan kepada syarikat lain yang tidak lagi beroperasi.

Justeru, Muhammad Fairuz menyarankan kepada pengusaha makanan untuk memohon sijil halal Jakim bagi memastikan pengguna yakin dengan produk yang dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

“Pelabelan ini bukan sahaja merujuk kepada kandungan nutrisi makanan tetapi turut melibatkan status halal lebih-lebih lagi jika pembelinya beragama Islam.

“Jika ‘ham’ itu benar-benar daging babi dan dilabel halal, ia adalah satu perkara yang sangat mendukacitakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!