Polis terima laporan sandwic dijual di UM tiada sijil halal

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima laporan berhubung penjualan makanan produk 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kes telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
"Kita telah terima laporan berkaitan isu berkenaan, kes telah dirujuk kepada agensi dan Kementerian berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Isnin, Jakim mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal.
Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama KPDN pada Jumaat lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
