KK Super Mart gantung urus niaga pembekal sandwic 'ham & cheese'

KK Super Mart telah menggantung serta-merta segala urus niaga dengan syarikat pengeluar sandwic 'ham & cheese' susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di dua premis kedai serbanekanya di UM baru-baru ini. Gambar hiasan
KK Super Mart telah menggantung serta-merta segala urus niaga dengan syarikat pengeluar sandwic 'ham & cheese' susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di dua premis kedai serbanekanya di UM baru-baru ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) telah menggantung serta-merta segala urus niaga dengan syarikat pengeluar 'sandwic ham & cheese' susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di dua premis kedai serbanekanya di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

KK Super Mart dalam satu kenyataan memaklumkan segala pemprosesan produk terbabit daripada kemasukan ke mana-mana premis lain berikutan siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Jelasnya, hanya 16 KK Concept Store yang mempunyai kemasukan produk itu dan pihaknya telah membekukan urusan perniagaan bersama syarikat terbabit.

"Kami difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas kilang terbabit di Sunway Damansara, Petaling Jaya.

"Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan serta kesejahteraan pelanggan kami,” katanya pada Isnin.

Justeru, KK Super Mart juga telah membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar produk 'sandwic ham & cheese' terbabit.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya telah mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari 2025 kepada syarikat terbabit.

"Untuk makluman semua pihak, produk sandwic ini dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan, antaranya adalah di rangkaian KK Concept Store.

"Penjelasan daripada kami adalah, pihak syarikat terbabit telah mengemukakan sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Tulisan yang dipamerkan pada bungkusan roti sandwic tersebut serta penulisan perkataan ini adalah daripada pihak syarikat terbabit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, KK Super Mart berkata, syarikat itu memandang serius perkara tersebut dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berulang.

Sebelum ini, media melaporkan UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui status halalnya.

Berikutan itu, Jakim mengesahkan bahawa 'sandwic ham & cheese' yang dijual di kedai serbaneka di UM tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia.

"Oleh itu, tindakan syarikat yang mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Tindakan undang-undang juga telah diambil oleh KPDN. Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi ‘Verify Halal’,” katanya dalam kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!