4 warga Myanmar ditahan, jadikan rumah kedai pusat hiburan

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan hiburan seperti televisyen, pembesar suara dan mikrofon serta 43 karton dan tin minuman keras bernilai RM11,000.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan hiburan seperti televisyen, pembesar suara dan mikrofon serta 43 karton dan tin minuman keras bernilai RM11,000.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Empat warga Myanmar termasuk dua wanita diberkas kerana disyaki menjadikan rumah kedai di Taman Bestari Jaya, Skudai sebagai pusat hiburan tidak berlesen.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, kesemua warga Myanmar berusia antara 24 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan yang dilakukan pada 6 Januari lalu.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan hiburan seperti televisyen, pembesar suara dan mikrofon serta 43 karton dan tin minuman keras bernilai RM11,000.

“Siasatan mendapati pusat hiburan ini telah beroperasi selama lebih kurang dua bulan, pada mulanya mereka menyewa rumah kedai dengan alasan nak buka restoran; tetapi akhirnya dijadikan pusat hiburan.

“Pusat hiburan ini juga tiada papan tanda dan pelanggan mereka majoritinya merupakan warga Myanmar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada Isnin.

Tambah Kumarasan, antara kesalahan lain termasuk memiliki barang larangan import dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!