Rumah hantu: Sekadar hiburan atau memudaratkan?

ELEMEN hiburan, menakutkan dan mistik sering dikaitkan dengan kebanyakan penganjuran rumah hantu yang menawarkan pengalaman sebegitu kepada pengunjungnya.
Walaupun bukanlah hantu sebenar, tetapi ia cukup memberikan aura bagaikan berada di ‘alam’ yang menempatkan makhluk ghaib tersebut.
Dalam insiden terbaharu di Melaka, seorang guru lelaki direman enam hari selepas disyaki mencabul dua murid perempuan berusia 12 tahun ketika berada dalam ‘rumah hantu’ semasa karnival di sekolahnya.
Kejadian itu mendatangkan polemik tentang impak sosial, psikologi dan agama yang mungkin timbul daripada penganjuran aktiviti berunsur mistik seperti rumah hantu tersebut.
Rumah hantu dilihat sudah tidak selamat lagi dipanggil sebagai satu bentuk hiburan yang mengujakan, sebaliknya boleh meninggalkan kesan trauma mendalam.
Apatah lagi, kes raba itu berkait rapat dengan soal etika dan risiko yang mungkin timbul dalam acara seperti itu.
Jika diteliti, kejadian itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di luar negara.
Misalnya, BBC News melaporkan pada 2017, seorang lelaki meninggal dunia selepas terkena objek mekanikal di pameran rumah hantu di Hong Kong. Bagaimanapun, koroner memutuskan kematian itu sebagai kemalangan selepas mendapati pemuda itu tersalah masuk ke kawasan terlarang sebelum dihimpit oleh slaid bergerak.
Satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah pameran rumah hantu di Amerika Syarikat sekitar tahun 2021 apabila seorang kakitangannya secara tidak sengaja menikam kaki seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan pisau sebenar ketika cuba menakut-nakutkannya, lapor agensi berita CNN.
Itu hanya dua contoh. Sebenarnya ada banyak lagi, tetapi beberapa siri insiden itu menunjukkan, hiburan yang sepatutnya menyeronokkan boleh berakhir dengan tragedi apabila tidak diurus dengan betul.
Menurut perspektif Islam, pameran rumah hantu menimbulkan beberapa persoalan.
Kes seperti guru meraba murid jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan pentingnya menjaga kehormatan dan akhlak terutamanya bagi seorang pendidik. Tindakan seperti itu bukan sahaja melanggar amanah, tetapi juga mendatangkan natijah buruk kepada individu terlibat.
Dari satu segi, Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi laman web emusykil.muftiselangor.gov.my menyarankan umat Islam untuk menghindari unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan menjejaskan keimanan.
Sementara itu, Maktabah Albakri menegaskan, tidak dibolehkan menganjurkan dan memasuki rumah hantu kerana ia memudaratkan dan bertentangan dengan hukum syarak.
Ia selaras dengan fatwa yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 2007 yang menyatakan, umat Islam tidak seharusnya dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama itu.
Melihat kepada kes dilaporkan itu, ia menunjukkan bahawa rumah hantu boleh memberi impak negatif kepada masyarakat sekiranya tidak dikawal dengan baik oleh penganjur.
Walaupun ia sekadar hiburan, namun ia boleh bertukar menjadi episod yang menakutkan apabila melibatkan elemen tidak bertanggungjawab.
Kes membabitkan guru dan murid umpamanya menjadi contoh jelas bagaimana penganjuran rumah hantu boleh memberi kemudaratan kepada masyarakat.
Bak kata pepatah, kerana nila setitik, akibatnya rosak susu sebelanga.
Ini kerana mungkin ada banyak lagi penganjuran rumah hantu yang dibuat dengan tanggangjawab dan berhati-hati.
Dalam konteks itu, masyarakat perlu menilai semula jenis hiburan diadakan lebih-lebih lagi jika melibatkan golongan muda dan kanak-kanak bagi memastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada diri.
Barangkali sudah tiba untuk semua pihak terbabit melihat semula jenis hiburan melibatkan unsur mistik yang sesuai dengan nilai agama dan moral.
Penganjuran program sebegitu perlu dilakukan lebih bertanggungjawab, selain mengutamakan elemen yang mendatangkan manfaat dan tidak membawa mudarat kepada masyarakat,
Pendidikan agama yang lebih intensif boleh memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai batasan moral dalam hiburan.
*Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!