JDT belasah Sabah di Iskandar Puteri

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memperkukuhkan kedudukan selepas membelasah Sabah FC, 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Skuad kendalian Hector Bidioglio meledakkan jaringan menerusi Juan Muniz (m-51, m-69) dan Bergson da Silva (m-80, m-83) memastikan tiga mata buat Harimau Selatan.
Kemenangan ke atas angkatan The Rhinos, Martin Stano membolehkan Harimau Selatan mengumpul 49 mata hasil 16 kemenangan selepas mengharungi 17 perlawanan.
Tiga mata itu juga menyaksikan Harimau Selatan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 17 perlawanan musim ini dengan 16 kemenangan dan satu seri
Anak buah Bidioglio di ambang merangkul kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut dengan baki tujuh perlawanan.
Sementara itu, Kuching City mengejutkan PDRM FC apabila menewaskan pasukan tuan rumah 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang import The Cats, Petrus Shitembi meledak gol pertama minit ke-15 sebelum Jordan Mintah memastikan kemenangan mutlak minit ke-88.
Ini kemenangan kedua diraih anak buah Aidil Sharin Sahak ke atas angkatan The Cops kendalian P Maniam selepas menang jaringan sama di Kuching pada Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!