Tiga pegawai Imigresen direman minta rasuah daripada pekerja asing
IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman tiga pegawai Jabatan Imigresen Perak bersama seorang ejen pekerja asing bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan Program Repatriasi Migran (PRM).
Terdahulu kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan antara jam 1.15 petang hingga 7.15 malam pada Khamis ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perak di sini pada Khamis.
Difahamkan penahanan tersebut dibuat bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti meminta dan menerima wang rasuah antara RM50 sehingga RM300 daripada setiap pekerja asing yang ingin pulang ke negara asal secara sukarela melalui PRM itu.
Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak Mac hingga September 2024 dan wang tersebut diminta sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan program terbabit.
Keempat-empat suspek terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat untuk mendapatkan perintah reman.
Perintah reman selama dua hari sehingga Sabtu terhadap empat suspek berkenaan kemudiannya dikeluarkan Majistret Siti Nora Sharif pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.