Majikan tipu pekerja asing di Pengerang gagal bayar tunggakan gaji

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan yang didakwa melakukan penipuan terhadap pekerja asing di Pengerang, Johor pada Februari lepas, didapati masih tidak membuat sebarang pembayaran gaji lebih RM1 juta kepada 733 pekerja terlibat.

Majikan itu diberi tempoh 45 hari untuk melunaskan pembayaran tunggakan gaji berjumlah RM1,035,557.50, namun gagal berbuat demikian.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor, kini dalam proses menguatkuasakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Buruh, dengan tindakan pendakwaan ke atas majikan di Mahkamah Seksyen.

Menurut kenyataan Kesuma, pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen S69(4) Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap kesalahan dan perlu membayar tunggakan para pekerja terlibat.

"Sejumlah 10 kertas siasatan telah dibuka ke atas syarikat yang terbabit, di mana empat daripadanya telah mendapat izin dakwa dan selebihnya diberi arahan lanjut,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.

Kesuma memaklumkan selain itu, kuota pengambilan pekerja asing bagi syarikat tersebut turut telah dibatalkan dan majikan disenarai hitam dari permohonan penggajian pekerja asing baharu.

Manakala seramai 692 pekerja asing yang terbabit, telah diberikan pekerjaan melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas, menurut kenyataan itu.

Pada 5 Februari, Kesuma melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjalankan prosiding pendengaran tuntutan kes buruh yang melibatkan seramai 733 pekerja asing di Pengerang.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding berkenaan, pihak syarikat telah diarahkan dan bersetuju untuk membuat pembayaran tunggakan gaji kepada pekerja asing ang dibawa masuk ke negara ini secara sah, tetapi gagal diberikan pekerjaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!