Hentikan rundingan terus projek kerajaan

Anwar menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT.
Anwar menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT.
A
A
A

PENGANUGERAHAN kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor secara rundingan terus kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility), syarikat milik suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terus mencetuskan kontroversi.

Asia Mobility adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Suami Hannah, Ramachandran Muniandy ialah Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility.

Banyak pihak mempertikaikan pelantikan Asia Mobility kerana khuatir wujud konflik kepentingan.

Keadaan bertambah panas apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah kerana projek DRT tersebut tiada kaitan dengan Hannah.

Lainlah kata beliau kalau KBS yang memberi kontrak kepada syarikat berkenaan.

Jawapan bersahaja Azam telah mengundang pelbagai kecaman.

Pengkritik melihat kemungkinan wujud salah tadbir urus, salah tatakelola atau salah guna hubungan baik antara menteri, ahli politik dan pemimpin negeri yang boleh menyebabkan berlaku ketirisan negeri dan negara.

Artikel Berkaitan:

Jawapan Perdana Menteri berhubung isu itu pada Selasa dilihat lebih berhemah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu patut disiasat seperti kes lain jika terdapat laporan, dan beliau menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Dari segi peraturan, kerajaan Selangor boleh memberikan kontrak tersebut kepada Asia Mobility secara rundingan terus selagi ia mematuhi garis panduan dalam Pekeliling Perbendaharaan.

Yang menjadi perbahasan orang ialah mengapa secara rundingan terus dan tidak secara tender terbuka sedangkan Perdana Menteri pada Januari lalu berikrar bahawa amalan rundingan terus untuk perolehan kerajaan akan dihalang sama sekali.

Kata Anwar, amalan berkenaan yang sudah diamalkan sejak sekian lama sebenarnya memberi ruang yang lebih besar bagi penyalahgunaan kuasa.

Walaupun pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri Selangor berbeza namun punca kuasanya adalah sama iaitu Kerajaan Perpaduan.

Makna mudahnya, jika itu prinsip serta amalan ketelusan di peringkat pusat, seharusnya perkara yang sama turut diamalkan di negeri-negeri.

Mengikut Pekeliling Perbendaharaan, rundingan terus haruslah dihadkan antaranya kesegeraan atas kepentingan awam; bagi maksud keseragaman; satu punca bekalan atau perkhidmatan; keselamatan strategik; dan kontrak dengan syarikat bumiputera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!