Projek DRT: Pelantikan Asia Mobility ikut prosedur, dapat kelulusan APAD

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai salah satu syarikat pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) mengikut prosedur ditetapkan kerajaan Selangor.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik syarikat berkenaan serta Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) mengambil kira kelulusan Proof of Concept (POC) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menurutnya, APAD meluluskan penyertaan proses pengujian POC perkhidmatan Bus On Demand bagi Asia Mobility (TrekRides) pada 22 Disember 2022 dan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) pada 24 Februari 2023.

"Kedua-dua syarikat itu telah dijemput untuk membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT untuk pertimbangan bagi pelantikan sebagai syarikat pengendali perkhidmatan.

"Jawatankuasa Pelaksanaan mengambil pendekatan bersetuju melantik kedua-kedua syarikat ini kerana pentadbiran ingin menepati piawaian ditetapkan pihak berwajib demi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan DRT adalah terjamin.

"Letter of Intent telah dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023 manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 September 2023," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu menjawab isu dibangkitkan pengguna aplikasi X @RakyatAduan yang mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility dalam projek DRT di Selangor.

Ia susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Artikel Berkaitan:

Sze Han berkata, pengoperasian perkhidmatan DRT tertumpu di kawasan padat menghubungkan pengangkutan awam utama seperti LRT, MRT dan KTM Komuter serta laluan sempit yang tidak boleh dilalui bas.

"Sepanjang tempoh percubaan Fasa Pertama Projek Rintis DRT, kedua-dua syarikat telah mula beroperasi menggunakan empat van di lapan zon di Selangor.

"Asia Mobility menumpukan kawasan Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang manakala perkhidmatan Badan Bas di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh," katanya.

DRT merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobility di Selangor.

Projek Rintis DRT ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan dikawal selia oleh Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!