‘Mengapa tiada proses tender?’ - TI-M

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Dr Muhammad Mohan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Dr Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan ketelusan memproses tender yang menggunakan rundingan terus bagi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, projek tersebut dikendalikan oleh Syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan dijalankan di Lembah Klang.

“Apa yang lebih menarik, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Ramachandran Muniandy merupakan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Persoalannya, mengapa tiada proses tender? Beliau merupakan salah seorang menteri yang dilihat berdedikasi dan cekap dalam kabinet.

“Isu ini akan dilihat secara negatif oleh ramai dan akan meletakkan beliau dalam keadaan yang amat sukar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tiada kesalahan suami Hannah terima tender kerajaan Selangor’ - Azam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kontrak yang diterima oleh suami Hannah Yeoh daripada kerajaan Selangor tidak mengandungi sebarang kesalahan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan tugas dan tanggungjawab menteri berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Mohan turut menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam urusan pelantikan terus syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia disebabkan bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani sebelum ini.

“Kami menggesa kerajaan negeri melakukan proses tender yang telus sebelum ia menjejaskan persepsi rakyat terhadap komitmen reformasi dan pencegahan rasuah,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa masih wujud amalan rundingan langsung bertopengkan keperluan teknikal dan pemberian kontrak kepada kroni atas nama meritokrasi.

Katanya lagi, perbuatan tersebut perlu dihapuskan kerana itu merupakan Kerajaan Perpaduan selepas Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!