Dua GRO Vietnam cedera terjatuh ketika cuba lolos diri

32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi diadakan. FOTO: JIM Negeri Sembilan
32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi diadakan. FOTO: JIM Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Dua wanita warga Vietnam yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) mengalami kecederaan di kepala, bahu dan kaki ketika cuba melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan pada Jumaat.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, wanita berkenaan cedera selepas terjatuh atas jalan raya dalam insiden di salah sebuah lokasi dari keseluruhan 12 premis yang diperiksa sekitar kawasan Seremban dan Tampin.

"Seramai 71 individu diperiksa dan 32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang disertai oleh 20 pegawai JIM Negeri Sembilan dan turut dibantu lima pegawai dari Majlis Daerah Tampin.

"Kesemua PATI yang ditahan adalah tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia; enam lelaki warga Bangladesh; seorang wanita warga China; tiga lelaki warga India dan 16 wanita warga Vietnam berumur antara 20 hingga 46 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Seramai 71 individu diperiksa dan 32 PATI ditahan dalam operasi diadakan. Foto: JIM Negeri Sembilan
Seramai 71 individu diperiksa dan 32 PATI ditahan dalam operasi diadakan. Foto: JIM Negeri Sembilan

Ujarnya, mereka ditahan di atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semasa operasi dijalankan di salah satu lokasi juga, terdapat provokasi dari pelanggan yang mabuk, namun dapat diselesaikan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

"Mereka telah dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Tiga borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu katanya, JIM Negeri Sembilan berterima kasih kepadaorang ramai yang telah membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung keberadaan PATI.

"Kami mengalu-alukan sebarang maklumat sedemikian dan menjamin kerahsiaan pemberi maklumat.

"JIMNS juga ingin mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI dan tindakan tegas boleh diambil jika berbuat demikian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!