Wanita warga Sri Lanka ditahan, cuba ragut rantai leher

Seorang wanita warga Sri Lanka ditahan selepas cuba meragut rantai leher seorang warga emas di Batu Caves. Gambar hiasan
Seorang wanita warga Sri Lanka ditahan selepas cuba meragut rantai leher seorang warga emas di Batu Caves. Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita warga Sri Lanka ditahan selepas disyaki cuba meragut rantai leher seorang wanita warga emas di Batu Caves di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 64 tahun dalam perjalanan ke kuil bersama dua orang cucunya.

"Setibanya di lokasi kejadian, suspek berusia 45 tahun telah menolak badan mangsa dan cuba menarik rantai leher emas miliknya.

“Ketika kejadian berlaku, terdapat saksi awam yang melihat perbuatan suspek, kemudian menjerit sehingga menyebabkan suspek melepaskan rantai yang diragut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Ariffin berkata, susulan itu, rantai telah terputus lalu jatuh di atas jalan dan suspek cuba melarikan diri.

"Suspek berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Yap Chin Chua di talian 019-9969469,” katanya.

Artikel Berkaitan: