Persatuan gig lega pengumuman PM

(Gambar kecil: Wan Agyl, Mohd Azril)
(Gambar kecil: Wan Agyl, Mohd Azril)
A
A
A

SHAH ALAM - Desakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig memberi kelegaan kepada persatuan terlibat.

Timbalan Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Grab Malaysia, Mohd Azril Ahmat berkata, pihak persatuan menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Anwar terhadap keselamatan dan kebajikan pekerja gig khususnya pemandu e-hailing.

“Dari dahulu lagi kami (persatuan) sangat bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig kerana ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kelompongan dalam industri ini dapat diselesaikan.

“Kalau kita lihat kini, untuk akta sedia ada masih banyak lompong contohnya dari segi permit yang diperoleh daripada syarikat-syarikat. Saya boleh katakan, lebih 70 peratus pemandu tiada permit sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Azril berkata, pihak persatuan berharap agar penubuhan itu dapat disegerakan bagi menjamin keselesaan pemandu dan penumpang.

“Harapan kami, apabila suruhanjaya ini ditubuhkan, kelompongan khusus berkaitan akta dapat dikuatkuasakan dengan lebih ketat agar tidak ada mana-mana syarikat mengambil kesempatan (pemberian permit) terhadap industri ini.

“Terlalu banyak isu daripada syarikat besar mahupun kecil, menggunakan segala kekurangan yang ada untuk elak daripada mengikut undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan memiliki pandangan berbeza terhadap keperluan mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya tergesa-gesa kerana pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum menubuhkan sebarang suruhanjaya.

“Saya tidak menafikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig ini sebagai satu inisiatif baik, namun apabila kerajaan sebut tentang mahu bela nasib pekerja gig, mereka perlu menyatakan siapa yang dimaksudkan itu.

“Ini kerana pekerja gig bukan hanya melibatkan pemandu e-hailing semata-mata tetapi ia melibatkan banyak lagi sektor lain dan ini yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Tambah Wan Agyl, jika kerajaan mahu menubuhkan suruhanjaya itu hanya untuk membela nasib pemandu e-hailing, ia sebenarnya boleh diselesaikan melalui kementerian sedia ada.

"Isu yang sering dibangkitkan oleh pemain industri adalah berkaitan dengan kebajikan dan keselamatan yang mana ia boleh diselesaikan melalui libat urus Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!