Tiada keperluan bincang segera peralihan kuasa PM: Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tiada keperluan bagi Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membincangkan peralihan kuasa Perdana Menteri dilaksanakan dengan segera.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia kerana proses transisi itu telah dijadualkan hujung tahun ini.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah sebut bahawa beliau akan tinggalkan jawatan selepas November, jadi tak berapa lama sahaja lagi.

“Biar kita ikut jadual yang beliau syorkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagi keperluan menyelenggara dan menaik taraf institusi sekolah agama di pejabatnya.

Sementara itu, Guan Eng berkata lagi, proses transisi itu perlu dilakukan dengan teratur agar menjamin keadaan yang stabil dan kukuh, bukan sahaja untuk negara tetapi juga bagi pertumbuhan ekonomi.

“Kita tidak harus mempertikaikan atau membangkitkan perkara-perkara yang tidak membantu ekonomi negara kita kerana ia boleh menimbulkan banyak spekulasi,” katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Majlis Presiden PH itu berkata, semua pihak haruslah memberi tumpuan untuk melaksanakan janji-janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya hendak terus terang di sini, sekiranya kita tidak dapat pastikan peralihan kuasa berjalan lancar, PH akan sukar mendapat keyakinan rakyat. “Kita juga akan mengalami kesukaran untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Dr Mahathir menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden PH.

Terdahulu dalam majlis itu, Guan Eng berkata, daripada jumlah peruntukan itu, RM50 juta akan diberikan kepada sekolah tahfiz, manakala sekolah agama rakyat serta pondok masing-masing memperoleh RM25 juta.

“Peruntukan tersebut adalah peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding yang diberikan oleh kerajaan terdahulu dalam Belanjawan 2018,” katanya.