Bekas Setiausaha Agung MTC dedah tujuh sebab majlis dibatalkan

Noorzaleha
Noorzaleha
A
A
A

SHAH ALAM - Melanggar Fasal 2 perlembagaan berdaftar pertubuhan dengan menukarkan dan menggunakan alamat berdaftar surat menyurat tanpa kebenaran pendaftar pertubuhan merupakan salah satu daripada tujuh sebab Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dibatalkan.

Mantan Setiausaha Agung MTC, Datuk Noorzaleha Baharuddin berkata, tujuan beliau mengemukakan bukti pembatalan itu adalah untuk memberi maklumat yang tepat dan tanpa memutar belitkan fakta MTC dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menurutnya, majlis berkenaan telah sengaja melanggar Fasal 5,2 perlembagaan berdaftar pertubuhan kerana pemecatan keahlian Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) dan perlucutan keahlian Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) adalah tidak mengikut perlembagaan.

“MTC juga mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi tahun 2022 tidak mengikut ketetapan perlembagaan dan melanggar Fasal 8.1.3 perlembagaan berdaftar pertubuhan kerana pemecatan dan pelantikan Setiausaha Agung Kehormat adalah tidak teratur dan tidak mengikut perlembagaan.

Majlis Pelancongan Malaysia
Majlis Pelancongan Malaysia

“Bukan itu sahaja, MTC sengaja melanggar Fasal 10.4 perlembagaan pertubuhan berdaftar kerana penandatangan cek pertubuhan bukanlah Setiausaha Agung Kehormat yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan.

“Ia juga melanggar fasal 10.5 perlembagaan berdaftar pertubuhan kerana perbelanjaan melebihi RM100,000pada sesuatu masa yang mana tiada kelulusan mesyuarat agung,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noorzaleha berkata, dengan bukti-bukti kesalahan yang dilakukan oleh ahli jawatan kuasa (AJK) MTC maka pihak RoS membatalkan pendaftaran mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Tambahnya, mereka yang bersalah itu mempunyai niat untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk merayu agar pendaftaran MTC tidak dibatalkan.

Pada masa sama, beliau berharap agar Saifuddin Nasution meneliti kesemua kesalahan MTC serta tidak melindungi mereka yang melakukan kesalahan dan jenayah melibatkan ratusan ribu wang pertubuhan.

“Saya dan ahli yang teraniaya telah banyak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mereka (AJK) yang melakukan kesalahan ini namun hingga kini masih lagi dalam siasatan oleh pihak berkuasa.

“Dengan pembatalan Pendaftaran MTC ini dapat menyekat mereka yang bersalah dari terus melakukan kesalahan serupa atau lebih berat lagi. Sekiranya pembatalan ini dimansuhkan, mereka yang bersalah akan merasa kebal,” ujarnya.