[VIDEO] Guan Eng diperintah bayar ganti rugi RM250,000 kepada Abdul Azeez

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membayar ganti rugi am RM250,000 kepada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kerana memfitnah berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar yang membenarkan rayuan Abdul Azeez turut memerintahkan Guan Eng selaku responden membayar kos RM70,000 kepada Abdul Azeez.

Hakim Azimah ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah rendah telah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Guan Eng dan membenarkan pembelaan Guan Eng bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Abdul Azeez.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Guan Eng.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut.

Hakim Azimah berkata responden (Guan Eng) tidak berusaha untuk mengesahkan maklumat itu dan beliau tidak pernah meminta sebarang maklum balas daripada perayu untuk pengesahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Guan Eng mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu ketika negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Abdul Azeez (kiri) dan Guan Eng
Abdul Azeez (kiri) dan Guan Eng

"Responden bertindak demi kepentingan politik beliau dan mempunyai agenda dan kepentingan peribadi," tambah beliau.

Hakim Azimah juga berkata, kenyataan responden itu telah melangkaui dengan meminta pihak berkuasa menyiasat isu dakwaan salah laku projek terowong dasar laut selain mendakwa perayu terlibat dalam perkara itu.

"Tiada bukti responden menghubungi perayu, tidak ada proses pengesahan. Responden terburu-buru menghebahkan kenyataan fitnah itu," katanya sambil menambah Lim tidak mengeluarkan kenyataan tersebut dengan niat baik tetapi dibuat demi kepentingan politik.

Menurut hakim, pemaju projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd telah menghantar notis tuntutan (NOD) kepada Abdul Azeez pada Februari 2018 untuk mendapatkan semula wang itu tetapi kemudian menarik balik NODnya dalam masa seminggu, berikutan maklum balas Abdul Azeez terhadap syarikat berkenaan.

Hakim Azimah berkata responden bukanlah "orang awam biasa" tetapi merupakan "ahli politik veteran terkenal dan berpengalaman" yang bukan orang asing dalam proses litigasi.

Justeru, kata hakim ia sepatutnya jelas kepada Lim bahawa NOD itu menunjukkan Abdul Azeez tidak bersalah dan tiada percubaan daripada Lim untuk mengesahkan kandungan LOD itu.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom, Abdul Azeez diwakili peguam Porres Royan dan Craign Ho manakala Lim diwakili peguam Datuk N. Mureli dan Felix Lim. - Bernama