Ahmad Zahid serlah sikap setia kawan, lunas janji bela Najib - Musa

Musa (Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
Musa (Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
A
A
A

GEORGE TOWN - Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong mengenai tahanan rumah menyerlahkan sikap setia kawannya.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai melunaskan janji dalam membela bekas Perdana Menteri itu.

"Bagi UMNO Pulau Pinang, pengesahan yang dibuat oleh Ahmad Zahid itu mencerminkan semangat setia kawannya dalam UMNO terutama terhadap diri Najib sendiri.

"Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang lalu, Ahmad Zahid dalam ucapannya secara lantang menyatakan mahu keadilan buat Najib dan mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia.

"Sehubungan itu, kenyataan Ahmad Zahid semalam sekali gus melambangkan bahawa Presiden UMNO menunaikan janjinya kepada akar umbi parti dalam PAU 2023 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Musa menambah, tindakan Ahmad Zahid yang secara terbuka menyokong Najib itu adalah contoh semangat 'Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat' yang menjadi slogan perjuangan parti keramat itu.

"UMNO Pulau Pinang senada dan selantang dengan kepimpinan Ahmad Zahid dalam soal pembelaan terhadap peribadi Najib," katanya lagi.

Pada Rabu, Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Artikel Berkaitan:

Titah Adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Januari lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!