Titah Adendum: Veteran UMNO mahu kerajaan berterus terang

Mustapha
Mustapha
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menuntut kerajaan supaya berterus terang dalam isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kekeliruan dan syak wasangka rakyat kepada kerajaan.

Menurutnya, sekiranya benar adanya Titah Adendum itu, maka Veteran UMNO menuntut supaya ia dilaksanakan.

"Adendum tersebut dibuat Al-Sultan Abdullah yang ketika itu masih Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah haknya sebagai Agong yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mustapha, kesanggupan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani afidavit yang beliau pernah melihat titah itu bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz lebih menguatkan lagi wujudnya adendum tersebut.

"Ia diperkuatkan lagi apabila Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga pernah dan ada melihatnya. Justeru, Veteran UMNO mahu kerajaan menjelaskan dengan telus serta berterus terang tanpa menyembunyikan fakta.

"Kalau 'tidak' maka perjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Veteran percaya dua orang menteri kabinet yang menjadi ahli kepada Jawatankuasa Pengampunan itu tahu cerita sebenarnya," ujarnya.

Beliau memberitahu, mereka yang terlibat perlu berterus terang dan tidak membiarkan rakyat berteka teki sekali gus menjejaskan kredibiliti kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu tindakan Ahmad Zahid menandatangani afidavit itu jelas membuktikan kesungguhan dan keikhlasannya untuk membebaskan Najib sekali gus menjawab keraguan ahli UMNO yang selama ini menuduhnya tidak ikhlas untuk membela Najib," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!