Pemandu rempuh mati tiga lelaki mengaku ambil dadah

Mohd Azizol (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengambil dadah.
Mohd Azizol (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengambil dadah.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pembantu kedai makan yang terlibat kemalangan hingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan, Rabu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengambil dadah.

Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memasukkan ke dalam diri sendiri dadah berbahaya jenis tetrahydrocannibol (THC) dengan cara menyalahi undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 7.45 petang, Rabu lalu.

Mohd Azizol yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan kematian tiga warga Pakistan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan mengambil dadah.
Mohd Azizol yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan kematian tiga warga Pakistan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan mengambil dadah.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan hendaklah dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.

Kes disebut semula pada 5 Jun depan bagi mendapatkan laporan patologi.

Media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga rakan senegaranya parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga.

Kejadian sekitar jam 8 pagi itu berlaku ketika semua mangsa berusia antara 20 hingga 35 tahun berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Pemandu kereta yang didapati positif ganja direman sehingga Ahad bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.