Tiga maut dirempuh kereta ketika ke masjid solat Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor dekat Chui Chak di sini pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 8 pagi itu berlaku ketika semua mangsa berusia antara 20 hingga 35 tahun berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Pemeriksaan mendapati semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar mangsa yang melalui bahu jalan tersebut.

Katanya, saringan air kencing terhadap pemandu berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengesahkan, lelaki terbabit positif ganja.

"Lelaki berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28