Berang kematian rakan, pemandu kereta dibelasah

Tangkap layar video tular kejadian pemandu kereta dipukul sekumpulan warga Pakistan.
Tangkap layar video tular kejadian pemandu kereta dipukul sekumpulan warga Pakistan.
A
A
A

TELUK INTAN - Polis mengesahkan kejadian pukul melibatkan sekumpulan lelaki susulan nahas mengorbankan tiga warga Pakistan di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor dekat Chui Chak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki dipercayai rakan senegara mangsa.

Menurutnya, kejadian pukul berkenaan berlaku sejurus selepas kemalangan dan reda sebaik kehadiran polis di lokasi.

"Pemandu kereta terbabit telahpun membuat laporan polis akan kejadian itu sekitar jam 1 petang tadi (Khamis).

"Tiada kecederaan serius, hanya luka di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya telah mengesan kejadian itu menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial.

Tangkap layar video tular kejadian pemandu kereta dipukul sekumpulan warga Pakistan.
Tangkap layar video tular kejadian pemandu kereta dipukul sekumpulan warga Pakistan.

Katanya, siasatan awal mendapati, empat individu yang terlibat dalam kejadian pukul itu merupakan rakan mangsa yang terselamat dalam kemalangan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Berpandukan video itu, kita telahpun kenal pasti mereka yang terlibat. Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Dalam video tular berdurasi 19 saat itu, sekumpulan lelaki dalam keadaan berang bertindak membelasah seorang lelaki dalam parit.

Media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga.

Kejadian sekitar jam 8 pagi itu berlaku ketika semua mangsa berusia antara 20 hingga 35 tahun berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Saringan air kencing terhadap pemandu berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengesahkan, lelaki terbabit positif ganja.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Adnan berkata, pemandu kereta berkenaan telah direman selama empat hari sehingga Ahad ini.

"Siasatan terhadap lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.