Lelaki Israel dihadap ke mahkamah minggu ini - KPN

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini 27 Mac lepas, dijangka akan dituduh di mahkamah minggu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, buat masa ini pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengumpul maklumat.

"Kita (polis) juga menyiasat untuk mendapatkan motif sebenar lelaki itu memiliki enam senjata api. Jadi, mungkin dalam minggu ini juga pertuduhan ke atas warganegara Israel tersebut akan dibuat...mungkin lepas raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Terdahulu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) 1, Datuk Mohd Nasri Omar diberi tanggungjawab memangku jawatan Pengarah JSPT, mengambil alih tempat Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang bersara wajib hari ini.pada Isnin.


Bekal senjata api kepada ejen Israel, pasangan suami isteri dituduh hari ini

Dalam pada itu, pasangan suami isteri yang membekalkan senjata api kepada warga Israel akan dituduh di Mahkamah Klang, Selangor pada Isnin.

Razarudin berkata, mereka dipercayai membekalkan enam pucuk pistol kepada ejen Israel yang masuk ke Malaysia menggunakan pasport Perancis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua individu berusia 42 dan 40 tahun tersebut ditahan sebelum ini di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu atas kesalahan memiliki senjata api.

"Pasangan suami isteri itu akan dituduh hari ini (Isnin) di Mahkamah Klang.

"Mereka dituduh kerana membekal dan memiliki senjata api," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas mengenai ejen Israel, Shalom Avitan, 38, yang masuk ke negara ini, Razarudin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan motif sebenar suspek.

Kata beliau, pihak polis menyiasat tujuan Shalom mempunyai enam senjata api yang diketahui diseludup dari negara jiran.

Pada 27 Mac lalu, Shalom yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, Selangor.

Dalam tangkapan tersebut, polis merampas enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg di hotel tersebut.

Shalom dipercayai masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia pada 12 Mac lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!