'Bentang RUU355 supaya tidak tanggung dosa'- Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera membentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dalam masa terdekat bagi mengelakkan daripada menanggung ‘dosa’ apabila tidak menjalankan bidang kuasa tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pindaan tersebut penting bagi mengembalikan kedudukan Mahkamah Syariah selepas kuasanya dicabar oleh beberapa pihak.

Menurutnya, semua pihak tidak perlu membuat sebarang spekulasi, sebaliknya tunggu RUU355 dibahaskan di Dewan Rakyat nanti.

“Saya menyokong penuh bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) bahawasanya RUU 355 ini perlu dibentangkan oleh kerajaan dalam masa terdekat supaya dosa kita tidak ditanggung kerana tidak menjalankan undang-undang syariah.

“Sebarang usul atau pindaan akta yang ingin diperkenalkan untuk memperkasa mahkamah syariah saya akan sokong.

“Jangan pandai-pandai membuat sebarang kenyataan yang boleh membuatkan kaum Melayu dan Islam berasa tidak senang,” katanya dalam hantaran video di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menggesa Peguam Negara campur tangan terhadap langkah Kerajaan Kelantan untuk menggubal semula peruntukan jenayah syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengingatkan supaya MCCBCHST tidak mencampuri atau hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai agama Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bagi agama-agama di Malaysia turut meliputi agama Islam perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihak yang mempersoalkan pindaan tersebut tidak perlu mencampuri urusan undang-undang berkaitan Islam.

Ujarnya, jika keadaan tersebut berterusan, dikhuatiri isu agama dan perkauman akan terus berlarutan apabila terdapat campur tangan daripada pelbagai pihak yang bukan pakar dalam bidang undang-undang syariah.

“Orang bukan Islam jangan risau undang-undang syariah hanya digunakan kepada orang Islam sahaja,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28