'Datuk Botak' sudah hubungi semua ahli Parlimen PN - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dihubungi ‘Datuk Botak’ bagi memujuk mereka beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun menjelaskan, individu terbabit tidak menghubungi ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah.

“Semua yang ada kes mahkamah atau kena ugut LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sebagainya, tidak didekati (tetapi) yang lain semua saya rasa sudah kena (dihubungi Datuk Botak).

“Macam (Tan Sri) Muhyididn tidak perlu (dihubungi), (Datuk Seri) Hamzah pun tidak, yang lain semua diintai oleh wakil yang mengaku membawa mandat daripada Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa beberapa ahli Parlimen Pas turut dihubungi oleh 'Datuk Botak' dan ejen lain berkaitan perkara sama.

Wan Ahmad Fayhsal (tengah) ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Khamis.
Wan Ahmad Fayhsal (tengah) ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Khamis.



“Saya dengar ada ahli Parlimen Pas (dihubungi), tidak pasti (siapa) tetapi ada,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, beberapa ahli Parlimen PN mengesahkan ada menerima tawaran projek, peruntukan dan jawatan dengan syarat perlu menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata mereka dihubungi menerusi e-mel, WhatsApp dan ada yang bersua muka.

Ketika ditanya sama ada akan ada lagi ahli Parlimen PN yang bakal menyatakan sokongan terhadap Anwar, beliau berkata ‘hati manusia siapa yang tahu’.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Fayhsal mempertimbangkan cadangan untuk membuat aduan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai dakwaan berhubung Parlimen dijadikan lokasi untuk memancing ahli dewan.

“Itu cadangan yang baik, kita boleh beri peringatan kepada Speaker, saya akan bincang dengan parti dan Ketua Whip (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).

“Tetapi susah nak minta Speaker masuk campur sebab kita tidak boleh halang orang masuk untuk jumpa dengan ahli Parlimen, pertemuan itu mungkin bermula di Parlimen dan berakhir di hotel,” ujarnya.