Jangan undang bahana scammer pada hari raya - Ramli

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil risiko menjawab panggilan asing dan meragui kerana ia berpotensi menyebabkan mangsa berhadapan kerugian besar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan pengalaman terdahulu, terbukti dengan hanya menjawab satu panggilan berdurasi kurang 10 minit menyebabkan seseorang mangsa boleh mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata, peringatan tersebut juga memerlukan tindakan pantas daripada pihak perbankan yang menggunakan ejen khidmat pelanggan untuk memaklumkan tentang urusan perbankan mereka.

"Ejen ini menggunakan nombor telefon bimbit mereka untuk memanggil pelanggan bank.

"Seterusnya ejen itu akan meminta pengesahan daripada pelanggan, kebiasaannya empat angka akhir kad pengenalan.

"Pengesahan jenis ini adalah mengelirukan kerana scammer juga menggunakan taktik yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, menurutnya, JSJK menasihatkan orang ramai supaya jangan mengesahkan apa-apa maklumat peribadi kerana ia akan mendedahkan kepada kemungkinan menjadi mangsa scammer.

Katanya lagi, pihak bank disarankan mencari kaedah lain yang lebih efektif untuk berurusan dengan pelanggan terutama melibatkan panggilan telefon.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu menurut beliau, pihaknya mengingatkan orang ramai untuk sama-sama membantu menyebar luas maklumat kes penipuan dalam talian kepada keluarga dan kenalan terdekat.

Jelas beliau, pelbagai taktik digunakan oleh pihak scammer untuk menipu dan mencuri duit orang ramai.

Beliau berkata, sebaran komunikasi secara bersemuka adalah lebih berkesan dalam memberi kesedaran kepada satu sama lain.

"Guna kesempatan pada hari raya ini untuk saling memperingati tentang bahaya scammer dan taktik penipuan yang digunakan.

"Semoga peringatan yang diberikan oleh JSJK ini dapat memberi manfaat, seterusnya mengelak menjadi mangsa dan menjejaskan keceriaan menyambut Syawal yang mulia," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!