Operasi PATI di kondominium bongkar markas scammer

JIM menahan enam wanita dalam serbuan di unit kondominium di Kuala Lumpur pada Isnin. Gambar kecil: Wan Mohammad Saupee
JIM menahan enam wanita dalam serbuan di unit kondominium di Kuala Lumpur pada Isnin. Gambar kecil: Wan Mohammad Saupee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kondominium di Jalan U-Thant dekat sini membongkar kewujudan pusat penipuan panggilan pada Isnin.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammad Saupee Wan Yusoff berkata, Ops Serkap itu dijalankan pada jam 4.30 petang susulan aduan awam membabitkan kekuatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, JIM Kuala Lumpur serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

Menurutnya, pasukan operasi berdepan kesukaran apabila unit kondominium dikawal ketat oleh dua lapisan kawalan keselamatan.

"Seramai 28 individu telah diperiksa di dalam serbuan ini dan hasilnya enam wanita warga China serta Myanmar yang berumur antara 35 hingga 56 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Kita turut mengeluarkan satu saman kepada pemilik kondominium yang juga warga tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Antara wanita warga China dan Myanmar yang ditahan dalam serbuan di unit kondominium di Kuala Lumpur pada Isnin. Antara pasport antarabangsa yang dirampas JIM dalam serbuan.
Antara wanita warga China dan Myanmar yang ditahan dalam serbuan di unit kondominium di Kuala Lumpur pada Isnin. Antara pasport antarabangsa yang dirampas JIM dalam serbuan.

Beliau berkata, JIM percaya beberapa unit premis kondominium terbabit telah digunakan sebagai pusat aktiviti penipuan dengan penglibatan ‘scammer’ yang terdiri daripada sekumpulan warga asing bagi tujuan pelaburan secara dalam talian.

Katanya, ini berikutan terdapat beberapa peralatan seperti komputer riba, set komputer berskrin besar, tablet, telefon bimbit, router wifi dan sejumlah 11 pasport antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Dipercayai beberapa warga asing telah melarikan diri melalui tingkap belakang apabila menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa JIM," ujarnya.

Tegasnya, kesemua tangkapan disiasat Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"JIM mengingatkan kepada pemilik-pemiik premis dan majikan bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan petualang negara yang didapati melindungi PATI atau membenarkan PATI memasuki dan berada di dalam premis mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!