Pengerusi MyHSR Corp diperdaya scammer

Fauzi menunjukkan pesanan yang diterima selepas aplikasi WhatsApp digodam oleh scammer ketika sidang akhbar di rumahnya di Indera Mahkota pada Rabu.
Fauzi menunjukkan pesanan yang diterima selepas aplikasi WhatsApp digodam oleh scammer ketika sidang akhbar di rumahnya di Indera Mahkota pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi MyHSR Corp Sdn Bhd (MyHSR Corp), Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman mengakui diperdaya scammer apabila akaun peribadi dan perkhidmatan aplikasi WhatsAppnya telah digodam, beberapa hari lalu.

Beliau memberitahu, perkara itu berlaku selepas menerima satu pautan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali, kononnya Majlis Agama Islam Persekutuan Malaysia mengajak menyertai ceramah yang dipimpin bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Muhamad Al- Bakri.

"Selepas membaca pesanan itu, saya berminat untuk menyertai ceramah berkenaan dan telah menekan pautan tersebut sebanyak dua kali.

"Selepas itu, saya tidak boleh membuka aplikasi WhatsApp seperti sediakala," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Indera Mahkota di sini pada Rabu.

Fauzi yang juga mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beberapa kenalan menghubunginya selepas menerima satu pesanan daripada nombor WhatsApp miliknya yang meminta sejumlah wang, pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan memerlukan wang dan mula menyedari bahawa aplikasi WhatsAppnya telah disalah guna oleh pihak lain.

"Masa itu, rakan tanya Datuk Seri nak pakai duit berapa dan saya cakap whatsApp digodam selepas tidak dapat membuka aplikasi itu.

"Saya bimbang ramai rakan akan menjadi mangsa scammer dan terus tampil membuat laporan polis Ahad lalu," jelas beliau yang turut membuat laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Fauzi meminta rakan kenalan yang menerima mesej berkaitan kewangan supaya mengabaikannya.

Tegasnya, peringatan itu diberikan bagi memastikan mereka yang mengenalinya tidak terpedaya dan mengalami kerugian.

"Tujuannya saya hendak menyedarkan (orang ramai) adanya perkara seperti ini, yang berleluasa menggunakan (nama agensi), mungkin hari ini mereka gunakan Jabatan Perdana Menteri, esok (mungkin) jabatan lain, saya pun tidak tahu.

"Yang kedua, saya tidak mahu rakan-rakan atau orang tidak berdosa tertipu oleh scammer dan mengharapkan pihak berkuasa dapat menangkap dan menghukum orang ini dengan seberatnya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28