Pesara polis terkejut menang motosikal, ingat panggilan 'scammer'

Wan Abdullah (tengah) ketika menerima hadiah motosikal mewakili isterinya daripada Suris(kiri) dalam Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2024 pada Selasa.
Wan Abdullah (tengah) ketika menerima hadiah motosikal mewakili isterinya daripada Suris(kiri) dalam Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2024 pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - "Ini hadiah untuk raya dan memang tak sangka antara yang bertuah," kata Wan Abdullah Wan Husin, 67, selepas isterinya, Noraini Ibrahim, 67, diumum antara lima pemenang hadiah utama dalam Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2024.

Program anjuran Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) itu menyaksikan hadiah motosikal jenis Modenas MR3 bernilai RM3,600 menjadi milik pasangan itu.

Ujar Wan Abdullah, setiap tahun dia tidak pernah culas melunaskan cukai tahunan tersebut sejak memiliki rumah di Taman Temerloh Jaya pada 2000.

"Isteri tak dapat datang kerana mengidap strok sejak tiga tahun lalu.

Suris (tengah) bergambar kenangan bersama lima pemenang hadiah utama cabutan tersebut.
Suris (tengah) bergambar kenangan bersama lima pemenang hadiah utama cabutan tersebut.

"Motosikal ini saya akan guna sendiri untuk berulang-alik ke masjid dan sebenarnya ketika pihak MPT menghubungi semalam (Isnin) langsung tak angkat ingat 'scammer' sebelum kakitangan mereka sendiri datang ke rumah.

"Syukur dan terima kasih kepada pihak MPT dengan cabutan ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan," kata beliau yang juga seorang pesara polis.

Dalam majlis tersebut, hadiah utama iaitu motosikal Honda Dash bernilai RM6,200 menjadi milik Leong Kok Heng, 49, yang disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua MPT, Suris Mihat di Dewan Tun Razak di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Selain lima motosikal, pelbagai barangan elektrik dan elektronik ditawarkan antaranya peti ais, televisyen dan periuk nasi yang bernilai keseluruhan RM60,000.

Turut disampaikan anugerah tandas terbaik lima bintang antaranya kategori stesen minyak dimenangi Stesen Minyak Petron Jalan Karak-Mentakab dan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Syah bagi kategori masjid.

Sementara itu, Suris memberitahu, MPT sendiri mengambil inisiatif mengadakan majlis tersebut untuk menggalakkan orang ramai menjelaskan cukai mereka.

Ujar beliau, cabutan bertuah itu untuk pelanggan yang menjelaskan bayaran taksiran penuh untuk tempoh setahun tanpa ada tunggakan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28