Undang-undang baharu dakwa dalang utama jenayah scam

Malaysia perlu mempunyai undang-undang baharu bagi mengekang dan mengatasi aktiviti perbuatan penipuan dalam talian atau scam. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hishamuddin)
Malaysia perlu mempunyai undang-undang baharu bagi mengekang dan mengatasi aktiviti perbuatan penipuan dalam talian atau scam. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hishamuddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mempunyai undang-undang baharu bagi mengekang dan mengatasi aktiviti perbuatan penipuan dalam talian atau scam.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, undang-undang tersebut sangat diperlukan oleh pihak berkuasa bagi membuat siasatan menyeluruh dan mengaitkan dalang dalam jenayah tersebut.

Beliau berkata, dengan undang-undang baharu, pihak berkuasa boleh membuat tangkapan melibatkan faktor pencegahan.

Jelas beliau, dalam jenayah komersial, masih terdapat kelompongan undang-undang bagi mengaitkan dalang yang berada di belakang penipuan dalam talian bernilai jutaan ringgit.

"Tidak ada perlembagaan yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa dalam mendakwa pihak dalang sindiket penipuan dalam talian.

"Tidak sama dengan tangkapan atau pendakwaan dalam jenayah lain, jenayah komersial sukar disertakan dengan bahan bukti apabila jejak aliran pengubahan wang dibuat dalam banyak transaksi.

"Ini kerana pihak sindiket telah mengubah taktik atau modus operandi bagi dijejaki pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kata beliau, pertuduhan ke atas aktiviti penipuan memerlukan bukti transaksi, namun ia sukar dibuktikan apabila carta aliran tunai tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu menurutnya, pihak berkuasa sukar untuk melihat kerugian dan mempunyai kukuh mendakwa dalang atau mastermind.

Untuk itu beliau berkata, satu undang-undang khas bersifat pencegahan perlu digubal bagi membolehkan pihak berkuasa bertindak ke atas dalang.

Jelas beliau, undang-undang khas bersifat pencegahan itu akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa membuat tangkapan dan menahan suspek dalam tempoh yang lebih panjang.

Beliau berkata, tangkapan yang bersifat pencegahan diperlukan bagi memenuhi elemen jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

"Ini penting bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terperinci dan memburu dalang sebenar.

"Undang-undang khas ini diharap mampu memberi tempoh masa yang lebih lama kepada pihak berkuasa menahan suspek dan menjejaki saki baki kumpulan scammer.

"Ekoran tahanan reman yang singkat, ia membolehkan suspek untuk meloloskan diri," ujarnya.

Selain itu, Hishamuddin berkata, Malaysia juga perlu mempunyai sistem dan pelaksanaan undang-undang bersifat rentas sempadan.

Ini kerana katanya, kebanyakan mastermind penipuan dalam talian berada di luar Malaysia.

Kata beliau, bukan sahaja undang-undang perlu digubal dan diperkemaskan, negara juga harus menyusun satu perundangan rentas sempadan.

"Terakhirnya, agensi penyiasatan negara perlu meningkatkan teknologi sedia ada untuk berada lebih maju ke depan melebihi pihak scammer," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28