Terengganu Inc agih sumbangan pada 60 keluarga asnaf

Burhanuddin Hilmi (kanan) bertanya khabar dengan Rosli (kiri) ketika berkunjung ke rumahnya melalui Program Jejak Ramadan di Kuala Terengganu.
Burhanuddin Hilmi (kanan) bertanya khabar dengan Rosli (kiri) ketika berkunjung ke rumahnya melalui Program Jejak Ramadan di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mengagihkan bakul makanan dan zakat wakalah berjumlah RM45,000 kepada 60 keluarga asnaf pada bulan Ramadan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, program Jejak Ramadan yang diadakan pada tahun ini telah memberi bantuan kepada keluarga asnaf yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.

Burhanuddin Hilmi (tengah) memberi sumbangan pada Rosli.
Burhanuddin Hilmi (tengah) memberi sumbangan pada Rosli.

Beliau menyatakan melalui program tersebut, setiap keluarga diberikan wang zakat sebanyak RM300 selain bakul makanan serta pakaian.

"Bakul makanan dan bantuan wang tunai itu telah dikumpulkan oleh kakitangan Terengganu Inc menerusi kutipan sumbangan yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan.

"Seramai 50 kakitangan Terengganu Inc terlibat dalam pengagihan bantuan kepada keluarga asnaf yang telah dikenal pasti di sekitar Chendering, Kampung Raja dan Kuala Ibai," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Burhanuddin Hilmi berkata, program berkenaan juga mendapat kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sekolah Kebangsaan Chendering dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi memastikan sumbangan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau menyatakan selain program Jejak Ramadan, beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan pada Ramadan kali ini termasuk agihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penerima, Rosli Abdullah, 69, berkata, bantuan diterima itu dapat meringankan beban kewangan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Saya bergantung dengan seorang anak perempuan untuk menyara kehidupan bersama seorang lagi anak yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Saya ada menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat namun ia masih tidak mencukupi.

"Ini disebabkan saya menghidap strok dan darah tinggi maka perlu berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Jadi bantuan ini sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28