Hindari ajaran sesat: Kerajaan negeri junjung titah Sultan Pahang

WAN ROSDY
WAN ROSDY
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari ajaran sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran yang mencurigakan atau ajaran sesat di negeri ini.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan perkara tersebut dapat ditangani dengan sebaiknya sekiranya berlaku.

"Ia juga bagi memastikan kesucian akidah umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

"Rakyat di negeri ini juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran serta nilai-nilai benar bersandarkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diikuti selama ini," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy bimbang ajaran sesat seperti fahaman khawarij, takfiri, syiah dan sebagainya akan mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku selain membawa perpecahan dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.

"Sebagai masyarakat yang berpendidikan agama, kita tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat.

"Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia perlu dirujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28