[VIDEO] Dakwa dua MP jadi ejen pemujuk, Speaker beri amaran hukuman berat

A
A
A

KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan meneliti penyata rasmi (hansard) mengenai kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah mendakwa dua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjadi 'ejen pemujuk' supaya menyokong kerajaan.

Johari menegaskan, beliau akan memutuskan sama ada mengheret Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atau sebaliknya.

Beliau turut mengingatkan, hukuman yang dikenakan kali ini berat memandangkan amaran kepada ahli Dewan Rakyat untuk tidak berpolitik ketika sidang dewan sudah berulang kali diingatkan.

“Hukuman kali ini berat kerana saya sudah berkali-kali memberi amaran dan ingatan bahawa debat isu politik (buat) di pentas luar, bukan di dewan ini.

"Masa dalam dewan yang mulia ini hendaklah kita gunakan untuk bincang, runding dan bahas isu negara dan rakyat.

“Kita ada tiga hari, saya akan teliti dan telah menulis kepada Tasek Gelugor (Wan Saiful) untuk dapatkan fakta-fakta, selepas itu saya akan hubungi Tanjong Karang dan Gua Musang untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau didapati bersalah, Yang Berhormat dua ini akan dihadapkan juga ke jawatankuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari
Johari

Sementara itu dalam sidang akhbar bersama, Zulkafperi dan Mohd Azizi mendakwa Wan Saiful merupakan individu yang mendekati mereka untuk mengemukanan tawaran sebagai habuan sekiranya menyokong Perdana Menteri.

Zulkafperi berkata, tuduhan Ahli Parlimen Tasek Gelugor terhadap mereka berdua sangat jahat dan fitnah selain memutar belit fakta.

“Adakah mungkin kerana syarat yang tidak masuk akal, individu yang disebut sebagai Hasan dan Datuk Azman tidak mampu melayan kehendak beliau.

“Maka beliau cuba untuk mendapatkan info dan kepastian dengan cuba mendekati saya dan Ahli Parlimen Gua Musang dengan pendekatan kononnya bertanya ubat 'Wegovey' untuk menguruskan badan,” katanya.

Sebelum ini pada 21 Mac lalu, Wan Saiful mencuri tumpuan sidang Dewan Rakyat apabila mendakwa telah diperdaya dua individu berkenaan untuk mempengaruhi tingkah lakunya termasuk ucapan yang akan disampaikan di Parlimen.

Susulan itu, beliau meminta Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berdasarkan Peraturan 80 (A) yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 bagi mengenal pasti, membicara dan memutuskan hukuman terhadap individu yang melakukan tindakan sedemikian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28