Parlimen 'panas', Wan Saiful dakwa disogok RM1.7 juta

Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat bertukar kecoh susulan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Saiful berkata, antara habuan yang ditawarkan adalah peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mendakwa menghadiri beberapa perjumpaan tertutup dengan individu-individu tertentu selepas mereka beberapa kali cuba menghubungi beliau melalui panggilan telefon.

"Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah supaya saya mesti menyokong Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan ada habuan yang akan diberikan kepada saya.

"Antara yang disebut kepada saya adalah peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta, sebahagian daripada itu adalah untuk operasi pusat khidmat.

"Peruntukan projek yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang ini dan isteri saya (mempunyai) kanser," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Wan Saiful yang tidak mendedahkan nama-nama individu berkenaan, juga mendakwa mempunyai rekod berhubung perjumpaan-perjumpaan tersebut.

Situasi Dewan Rakyat bertambah panas apabila beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoalkan dakwaan Wan Saiful yang disifatkan sebagai sangkaan jahat.

Artikel Berkaitan:

RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah dengan menyifatkan dakwaan Wan Saiful itu sebagai satu tuduhan yang serius.

"Kalau anak jantan, buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Turut bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut adalah Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Ahli Parlime Kampar, Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengawal situasi berkenaan dengan mengarahkan Wan Saiful untuk menghentikan dakwaan yang dibuat olehnya itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28