Disogok RM1.7 juta: 'Tak sampai satu jam, saya terima mesej SPRM' - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau diarahkan untuk menghubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas menerima mesej daripada pegawainya berikutan pendedahan mengenai ajakan menyokong Perdana Menteri.

Wan Saiful yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau akan patuh kepada arahan yang diberikan oleh pihak SPRM.

“Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej daripada pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuh,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa beliau telah dihubungi oleh beberapa individu yang menggugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi, beliau 'akur' untuk mengadakan pertemuan, bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, ibu negara.

Dakwa beliau, dalam beberapa siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Pun begitu, Wan Saiful dalam kenyataannya memaklumkan bahawa, beliau menjangkakan pendedahan itu akan dinafikan.

“Tak apalah, kita faham mereka terpaksa ‘spin’,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut mempersoal tindakan yang sepatutnya diambil untuk menghentikan penyalahgunaan wang rakyat sebagai umpan kepada Ahli Parlimen Bersatu.

Jelasnya, lebih baik wang berkenaan digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan dijadikan sebagai umpan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28