Zulkafperi nafi jadi 'ejen pemujuk' sokong kerajaan

Zulkafperi
Zulkafperi
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi menafikan beliau menjadi 'ejen pemujuk' kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang lain untuk menyokong kerajaan.

Zulkafperi berkata, tuduhan dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan itu berunsur fitnah dan berniat jahat.

"Kenyataan ini semata-mata untuk mengaibkan atau mengheret saya dalam agenda peribadi beliau.

"Tindakan ini juga dibuat bagi memburuk-burukkan saya selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menyokong Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Zulkafperi berkata, kenyataan Wan Saiful itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana beliau juga sebelum ini pernah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan kenyataan yang dibuatnya di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membawa usul berhubung perkara dibangkitkan Wan Saiful di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

"Oleh kerana saya tiada di Dewan Rakyat semasa kenyataan itu, maka saya akan bawa usul tersebut, bagaimanapun saya tidak dapat menyebut secara penuh dan jelas tentang usul berkenaan," tambah beliau.

Wan Saiful pada Khamis mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongannya kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28