Cubaan sogok, ahli Parlimen perlu lapor SPRM

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang telah bersumpah menegakkan kedaulatan undang-undang seharusnya berusaha mempamerkan teladan terbaik kepada masyarakat khususnya berhubung kesungguhan mencegah rasuah.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, kumpulan pemimpin tertinggi negara sewajarnya menjadi contoh dalam membanteras amalan rasuah, terutama dengan melaporkan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa bagi diambil tindakan.

Beliau berkata, orang ramai akan menilai dan melihat tindakan yang diambil oleh ahli Parlimen sekiranya disogok dengan pemberian rasuah.

"Sebagai contoh kes Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam ucapan beliau di Parlimen baru-baru ini.

"Wan Saiful ada menyatakan beliau telah disogok dengan rasuah.

"Sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia bukan sahaja dari segi moral dan integriti, tetapi dari segi pengajaran kepada orang ramai walaupun rasuah itu ditolak olehnya," katanya pada Khamis.

Jelas beliau, isu imuniti ahli Parlimen yang dibangkitkan dalam hal tersebut lazimnya hanyalah untuk mengelakkan mereka daripada disaman atau menjadi satu kesalahan sivil.

Sementara itu, Profesor Madya Institut Pemikiran Islam dan Tamadun (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ahli Parlimen yang mempunyai integriti wajar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terbukti berlakunya sesuatu kesalahan awam.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ahli Parlimen telah bersumpah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang apabila melafazkan sumpah di bawah Jadual Ke-6," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Wan Saiful yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi oleh beberapa individu yang mengugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahli Parlimen itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi, beliau 'akur' untuk mengadakan beberapa pertemuan bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dakwa Wan Saiful, dalam siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28