Wan Saiful dedah ditawar RM2 juta, kes mahkamah gugur jika sokong kerajaan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi menarik perhatian Dewan Rakyat apabila mendakwa beberapa ahli Parlimen melakukan kacau ganggu selain menjadi 'orang tengah' untuk menarik sokongan kepada kerajaan.

Beliau yang bangkit sebaik selesai sesi soal jawab, mengemukakan peraturan mesyuarat menggesa Dewan Rakyat menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau tindakan beberapa ahli Parlimen terlibat.

Sambil menamakan beberapa individu, Wan Saiful mendakwa dua ahli Parlimen bersama tiga individu yang terlibat turut menawarkan peruntukan Parlimen, projek bernilai RM2 juta, bayaran kos perubatan isterinya, peruntukan kos guaman serta pengguguran kes di mahkamah.

"Saya mengemukakan peraturan 80 (a) kerana sudah ada kes duluan pada 2009 membabitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

"Saya ingin mencadangkan dewan ini membuat ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (a) yang di baca bersama seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini," katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Wan Saiful turut mendedahkan beliau ditawarkan habuan antaranya peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta sebagai menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesan pendedahannya itu, beliau mendakwa telah dihubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memintanya membuat laporan berhubung dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28