Salah laku individu tidak wajar kaitkan semua pemandu e-hailing - Penghantar

SHAH ALAM – Isu gangguan seksual membabitkan seorang pemandu e-hailing tidak wajar dijadikan alasan untuk mengaitkan keseluruhan komuniti pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang serta mengamalkan etika perkhidmatan tinggi.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam satu kenyataan berkata, perbuatan pemandu itu bukan sahaja mencemarkan nama baik platform e-hailing, malah menjatuhkan maruah beratus ribu pemandu lain yang jujur, berdisiplin dan mencari rezeki secara halal.
Menurutnya, perbuatan sebegini boleh merosakkan reputasi industri e-hailing, menghakis kepercayaan penumpang dan menjejaskan sumber pendapatan pemandu lain yang tidak bersalah
"Ingin kami tegaskan bahawa isu ini berpunca daripada salah laku individu dan tidak boleh sama sekali dilemparkan kepada keseluruhan komuniti pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang serta mengamalkan etika perkhidmatan yang tinggi.
"Status sebagai pemandu e-hailing bukan lesen untuk bertindak sesuka hati, sebaliknya menuntut tahap integriti, profesionalisme dan kawalan diri yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kepada penumpang," katanya pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan tegas berhubung insiden gangguan seksual yang melibatkan seorang pemandu e-hailing terhadap penumpang di Johor Bahru.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terbabit dengan serta-merta.
Susulan itu, Penghantar menyokong tindakan pantas, tegas dan tidak berkompromi MOT terhadap pemandu e-hailing yang terlibat dalam kes gangguan seksual itu.
Menurut kenyataan terbabit, tindakan diambil jelas menunjukkan komitmen kerajaan bahawa keselamatan dan maruah penumpang adalah keutamaan mutlak, serta mesej jelas bahawa tiada ruang toleransi terhadap sebarang salah laku jenayah dalam industri pengangkutan awam e-hailing.
Dalam perkembangan sama, Penghantar turut menyokong penuh siasatan polis dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil tanpa sebarang perlindungan atau kompromi terhadap pelaku.
Persatuan juga menyeru semua pemandu e-hailing agar menjaga adab dan etika profesional, mematuhi undang-undang serta syarat lesen PSV serta menyedari bahawa satu kesalahan individu akan memberi kesan kepada seluruh komuniti pemandu e-hailing.
"Kami turut menyokong syarikat e-hailing yang mengambil langkah segera, selaras dengan polisi yang termaktub bagi semua pemandu e-hailing.
"Pendekatan bertanggungjawab ini penting bagi memastikan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan e-hailing terus terpelihara. Jika tidak, kerana nila setitik rosak susu sebelanga," ujarnya lagi.
Menurut kenyataan itu, syarikat e-hailing turut memberi penekanan serius terhadap aspek keselamatan penumpang menerusi pelaksanaan proses saringan latar belakang yang ketat sebelum seseorang dibenarkan beroperasi sebagai pemandu.
"Dalam hal ini, kami percaya pemandu ini melepasi saringan itu namun dia sendiri mahu dimasukkan dalam senarai hitam seterusnya merosakkan periuk nasi sendiri selain menjejaskan reputasi pemandu-pemandu lain yang mencari rezeki," menurutnya.
Ringkasan AI
- Isu gangguan seksual oleh pemandu e-hailing mencemarkan nama baik industri dan merugikan pemandu yang beretika
- Perbuatan individu tidak patut dikaitkan dengan keseluruhan komuniti pemandu e-hailing
- Menteri Pengangkutan mengarahkan pembatalan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam pemandu yang terlibat
- Persatuan Penghantar mendukung tindakan tegas terhadap kesalahan jenayah dalam industri e-hailing
- Syarikat e-hailing menjalankan saringan ketat terhadap pemandu demi keselamatan penumpang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

