Salah kita terlalu cepat rasa kasihan

Warga asing yang dikesan menjadi pengemis di negara ini.
Warga asing yang dikesan menjadi pengemis di negara ini.
A
A
A

PENDEDAHAN akhbar ini mengenai pengemis warga asing semakin berleluasa bukanlah cerita baharu.

Malah ada yang sanggup menyamar sebagai pesakit kronik selain kehilangan anggota badan demi meraih simpati orang ramai.

Jabatan Imigresen Johor menerusi satu operasi mendedahkan, pengemis warga asing meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan hasil kutipan orang ramai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri juga meluahkan rasa bimbang terhadap lambakan pengemis warga asing di bandar-bandar utama.

Pelbagai usaha sudah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Imigresen, namun masalah itu terus berlarutan.

Statistik JKM menunjukkan, seramai 380 pengemis warga asing ditahan di ibu negara dari Januari hingga Ogos tahun lalu, berbanding hanya 98 orang dalam tempoh sama pada tahun 2022.

Kewujudan pengemis warga asing ini bukan sahaja mengganggu orang ramai, malah memberi imej buruk kepada pelancong dan negara luar.

Apa kata orang luar apabila melihat Malaysia yang sedang membangun masih terdapat orang miskin meminta sedekah di tepi jalan. Mereka tidak tahu yang itu sebenarnya bukan rakyat Malaysia!

Artikel Berkaitan:

Menurut Nancy, sikap pemurah rakyat negara ini yang menyebabkan pengemis warga asing menganggap Malaysia sebagai ‘lubuk rezeki’.

Mungkin inilah silapnya kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai sikap cepat kasihan. Tak boleh nampak orang minta sedekah, timbul rasa simpati tanpa melihat latar belakang siapa yang dibantunya itu.

Mungkin ada yang mengaitkan dengan faktor kemanusiaan kononnya tidak sampai hati melihat nasib warga asing ini, tetapi biarlah JKM yang berperanan menjaga kebajikan mereka.

Cuma kita sebagai rakyat Malaysia perlu membantu JKM tidak membiarkan pengemis warga asing ini berleluasa.

Kalau rakyat Malaysia boleh memboikot sebilangan perniagaan atas nama solidariti kepada rakyat Palestin, dan terbaharu memboikot sebuah pasar mini kerana isu stoking, kenapa tidak boikot juga pengemis warga asing ini.

Jangan beri mereka duit!

Sebab mengikut teori asas ekonomi, ada permintaan, adalah penawaran. Dalam kes pengemis warga asing ini, mereka tidak akan meminta kalau tiada yang memberi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28