Pemuda Pas persoal sumber dana untuk JPKKP Terengganu

Mohd Harun
Mohd Harun
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyalurkan sumbangan sebanyak RM5.2 juta kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang didakwa bercanggah dengan prinsip penjimatan diamalkan oleh kerajaan ketika ini.

Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa turut menuntut penjelasan dari mana sumber dana diperoleh untuk menyalurkan wang sebanyak itu kepada JPKPP di negeri ini.

"Cuma ada beberapa perkara yang menjadi persoalan terhadap pelantikan JPKKP ini dengan sumber dana yang diberikan begitu banyak kepada mereka oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid).

"Di manakah proses penjimatan yang diamalkan oleh pihak kerajaan dengan pelantikan JPKKP yang sudah pasti mempunyai elaun bulanan dan ditambah pula dengan dana RM5.2 juta untuk projek pembangunan di bawah JPKKP masing-masing.

"Bukankah lebih jimat untuk terus menyalurkan sumbangan itu kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah dilantik oleh kerajaan Terengganu sedia ada?

"Perkara semudah itu pun Timbalan Perdana Menteri tak boleh nak beza atau apa formula penjimatan yang digunakan oleh beliau?" katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Harun turut mempersoalkan sumber dana yang diperoleh dalam memberi peruntukan kepada JPKKP sedangkan rakyat Terengganu didakwa telah dinafikan hak untuk menikmati pembangunan dan bantuan susulan royalti disekat oleh kerajaan.

"Sebagai rakyat Terengganu yang dinafikan hak menikmati pembangunan dan bantuan dari kesan sekatan royalti daripada kerajaan, saya ingin bertanya dari mana peruntukkan RM5.2 juta kepada JPKKP diperolehi?

Artikel Berkaitan:

"Adakah dari wang royalti yang disekat atau tabungan dari mana? Saya nak tanya mana penjimatannya?

"Antara alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk tidak menyalurkan wang royalti secara terus kepada kerajaan Terengganu adalah kebimbangan salah guna wang tersebut untuk tujuan politik dan membeli undi," ujarnya.

Mohd Harun juga mendakwa tidak berlaku sebarang penyelewangan berikutan Terengganu telah mendapat anugerah Audit tanpa teguran oleh Ketua Audit Negara selama dua tahun berturut-turut.

"Begitu juga soalan tambahan saya, adakah JPKKP yang dilantik ini tidak berunsur politik?

"Jika benar pelantikan JPKKP dan dana yang diberikan itu dari kantung wang royalti, bukankah itu satu kezaliman dan pengkhianatan kepada rakyat Terengganu yang sepatutnya menikmati (wang royalti) tanpa banyak birokrasi," dakwanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28