Jumlah kerugian akibat banjir dianggarkan RM1 bilion - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah. Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Jumlah kerugian akibat bencana banjir di seluruh negara pada musim tengkujuh atau monsun timur laut kali ini dianggarkan hampir RM1 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) masih menilai jumlah sebenar kerosakan yang dialami akibat bencana itu.

Ahmad Zahid (berdiri, dua dari kanan) menyantuni pelajar-pelajar tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah. Foto Bernama

"Secara kasar, kita menganggarkan kerosakan keseluruhan mungkin hampir RM1 bilion,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Sultan Mahmud di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Zahid (empat dari kanan) menyerahkan insentif tadbir urus kepada JPKKP Terengganu bernilai RM5.2 juta pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah. Foto Bernama

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jumlah kerugian termasuk kerosakan infrastruktur seperti jalan persekutuan yang sedang dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya dan jalan di luar bandar oleh KKDW.

Beliau berkata bantuan membaiki rumah yang terjejas dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir juga telah disalurkan oleh Nadma kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri serta daerah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menzahirkan kekecewaan kerana berlaku pengagihan bantuan yang tidak sama rata di beberapa negeri tertentu pada musim banjir tahun lepas.

Beliau mendakwa situasi itu berlaku disebabkan perbezaan 'warna' politik sehingga menyaksikan individu yang layak dan sepatutnya menerima bantuan tidak disenaraikan.

"Saya fikir ini sesuatu yang harus dielakkan. Kita mahu wujudkan kesamarataan dan keadilan kepada semua mangsa tetapi ia tidak berlaku di beberapa negeri tertentu," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata semasa kempen pilihan raya, kerajaan negeri terbabit telah berjanji untuk tidak memilih 'warna' politik apabila menyalurkan bantuan bencana kepada rakyat namun melakukan perkara sebaliknya selepas menang. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28